Saturday, June 27, 2009

ZAMAN PRA SEJARAH

Sejauh manakah alam sekitar mempengaruhi kehidupan masyarakat pada zaman prasejarah.

PENDAHULUAN (3 markah)

1. Zaman prasejarah ialah zaman yang belum ada rekod bertulis tentang kehidupan manusia dan masyarakatnya.

2. Pengkaji sejarah membahagikan zaman prasejarah kepada tiga zaman iaitu

- Zaman Paleolitik (500,000 SM hingga 10,000 SM)

- Zaman Mesolitik (10,000 SM hingga 7,000 SM)

- Zaman Neolitik (7,000 SM hingga 3,500 SM)

3. Zaman ini juga dikenali juga sebagai zaman batu.

4. Kehidupan masyarakat pada zaman ini dikesan daripada bukti arkeolgi seperti fosil dan peralatan yang diperbuat daripada batu.

ISI (5 isi X 4 markah)

1. Penempatan

Penempatan masyarakat zaman prasejarah dipengaruhi oleh alam sekitar

- Zaman Paleolitik, pergantungan sepenuhnya ke atas alam sekitar menyebabkan mereka berpindah-randah untuk mencari makanan dengan memburu dan memungut hasil hutan. Persekitaran yang sejuk dan keadaan yang selamat menyebabkan mereka tinggal dalam gua.

- Zaman Mesolitik, pencairan air batu akibat daripada kenaikan suhu dunia telah mempengaruhi penempatan masyarakat pada zaman ini tertumpu di kawasan yang iklim sederhana iaitu di kawasan lingkaran tanah rata di Eropah, Asia dan Afrika.

- Zaman Neolitik, kehidupan masyarakat yang tidak bergantung kepada hasil hutan dan telah mula bertani menyebabkan mereka membentuk penempatan kekal sehingga wujudnya perkampungan neolitik. Perkampungan neolitik tertumpu di kawasan lembah sungai dan tasik kerana mereka bergantung kepada kesuburan tanah dan saliran semula jadi untuk kegiatan pertanian. Contohnya perkampungan Neolitik di Jermo, Jerica (Iraq) dan Pan Ismail

2. Kegiatan Ekonomi

Keadaan persekitaran mempengaruhi kegiatan ekonomi manusia dan masyarakat zaman prasejarah.

- Zaman Paleolitik, manusia mendapat makanan daripada sumber alam sekitar melalui kegiatan memburu binatang, menangkap ikan dan mengumpul hasil hutan.

- Zaman Neolitik, manusia telah mula menghasilkan sumber makanan sendiri tanpa bergantung kepada sumber alam sekitar melalui kegiatan pertanian dan menternak binatang Walau bagimanapun mereka masih bergantung kepada kesuburan tanah secara semulajadi untuk membolehkan mereka bertani. Kawasan pertanian tertumpu di lembah-lembah sungai yang terdiri daripada tanah lanar. Lebihan hasil pertanian mendorong kepada berlakunya aktiviti perdagangan.

3. Peralatan

- Bagi menyesuaikan diri dan pergantungan dengan persekitaran manusia di zaman Paleolitik telah menghasilkan peralatan yang ringkas dan mudah. Mereka menggunakan peralatan daripada tulang dan batu. Kapak tangan dihasilkan untuk melapah dan memotong binatang buruan.

- Revolusi pertanian di zaman neolitik telah mempengaruhi peralatan yang digunakan. Peralatan batu masih lagi digunakan pada awal zaman neolitik tetapi buatan lebih halus. Penemuan logam telah membolehkan mereka menggunakan logam seperti besi, timah dan tembaga menggantikan peralatan batu sebagai peralatan di sawah dan senjata.

4. Teknologi

- Masyarakat zaman Paleolitik menghasilkan peralatan batu menggunakan teknik merepeh. Kebakaran hutan akibat daripada petir dan proses menghasilkan peralatan batu telah menemukan masyarakat zaman ini dengan penggunaan api. Pakaian zaman ini diperbuat daripada kulit binatang dan kayu.

- Masyarakat pada zaman neolitik mempunyai kreativiti dan inovasi untuk mecipta teknologi dalam usaha menguasai persekitaran mereka. Mereka telah mencipta roda, menghasilkan peralatan tembikar dan memenun kain daripada gentian tumbuhan. Bajak dicipta yang menggunakan tenaga haiwan untuk memudahkan kerja-kerja di ladaing.

- 5. Kepercayaan

Persekitaran banyak mempengaruhi sistem kepercayaan masyarakat zaman prasejarah. Ketidakupayaan masyarakat zaman paleolitik dan neolitik mengatasi bencana alam menyebabkan mereka percaya kepada kuasa ghaib yang mempunyai kaitan rapat dengan persekitaran mereka. Mereka menyembah Tuhan yang mempunyai kaitan dengan persekiran mereka seperti Tuhan matahari, sungai dan binatang. Banjir dan kemarau yang berlaku membawa kepada kepercayaan kepada tuhan dan semangat tanaman. Ia membawa kepada upacara pemujaan dan keagamaan.

6. Kesenian

Alam sekitar menjadi sumber kepada hasil seni masyarkat zaman pra sejarah. Manusia paleolitik melukis gambar binatang di gua yang mempunyai kaitan dengan kepercayaan. Pada zaman neolitik unsur alam dilihat sebagai simbol dalam hasil lukisan mereka yang mempunyai kaitan rapat dengan sistem kepercayaan.

KESIMPULAN (2 markah)

Kehidupan masyarakat zaman prasejarah banyak dipengaruhi oleh alam sekitar. Penemuan dan kreativiti masyarakat di zaman neolitik telah membawa perubahan besar bagi mereka menyesuaikan diri dan menguasai alam sekitar.

RANCANGAN PELAJARAN SEJARAH STPM


UNTUK PANDUAN PENSYARAH DAN PELAJAR PRA-U

  1. SUKATAN PELAJARAN SEJARAH STPM
  2. RANCANGAN PELAJARAN TAHUNAN SEJARAH STPM KERTAS 1
  3. RANCANGAN PELAJARAN TAHUNAN SEJARAH STPM KERTAS 2